Halaman

Showing posts with label kemalangan. Show all posts
Showing posts with label kemalangan. Show all posts

Saturday, July 23, 2011

Diseret van 100 meter

Kesian bila terbaca berita tentang murid taska yang diseret van dinaikinya hampir 100 meter sehingga kulit kepala terkoyak dan menampakkan tempurung kepala.

Umur baru 3 tahun, tapi terpaksa menanggung kesakitan yang amat sangat akibat tali beg yang tersangkut pada pintu van.

Ibu bapa kepada adik Muhammad Haziq Aqasha Muhamad Sazali mengatakan bahawa anak mereka cerdik walaupun baru berusia 3 tahun. Mana tidak nya, budak yang sekecil adik Haziq ni pandai memujuk ibu bapa nya agar tidak menangis dan bersedih dengan keadaannya.

Semoga adik Haziq cepat sembuh dan dapat bermain seperti kanak-kanak lain.

Harian Metro 21 Julai 2011

Monday, July 18, 2011

Tenggelam dua kali di Jeram Linang

MACHANG: Perkelahan seorang remaja lelaki bersama bapa saudara dan tiga rakan di Hutan Lipur Jeram Linang di sini, bertukar tragedi apabila maut selepas tergelincir dan lemas ketika mandi di kawasan itu, kelmarin.

Dalam kejadian jam 5 petang, Muhamad Azrul Nizam Zainal Abidin, 20, yang tergelincir cuba diselamatkan bapa saudaranya, Zulkifli Derahim, 21, namun usaha itu gagal sebelum mangsa tenggelam di dasar sungai sedalam kira-kira empat meter.

Mayat mangsa berasal dari Kampung Aril, Pauh Lima, Bachok ditemui terlentang di dasar sungai jam 7.10 malam selepas mendapat bantuan sepasukan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat dari Unit Skuba Kota Bharu diketuai Shahril Yusma Mat Yusoff.

Sebelum itu, mangsa dikatakan tiba di kawasan perkelahan itu jam 4.30 petang bersama Zulkifli serta tiga rakan sekampung, Mohamad Atifi Mohd Nazir, 20; Mohd Syafiq Mohd Ismail, 20, dan Zamri Mustapha, 19, menaiki motosikal.

Tidak sampai setengah jam kemudian, perkelahan itu menjadi mimpi ngeri sebaik mangsa tenggelam menyebabkan Zulkifli terpaksa berhempas-pulas cuba menyelamatkan mangsa. Namun, usahanya gagal sehingga mangsa ditemui terdampar di dasar sungai, dua jam kemudian dan mayatnya dihantar ke Hospital Machang untuk dibedah siasat.

Zulkifli berkata, sebelum kejadian, dia sudah menasihatkan anak saudaranya itu supaya tidak mandi di bahagian tengah sungai berikutan keadaannya agak dalam.

“Selepas mandi di kawasan gigi air, arwah beredar ke kawasan aliran air terjun sebelum tergelincir lalu terjatuh,” katanya ketika ditemui di bilik mayat HM, kelmarin.

Katanya, terkejut melihat keadaan itu, dia bersama Mohamad Atifi dan Mohd Syafiq terus terjun untuk cuba menyelamatkan mangsa.

“Saya nekad kerana tidak sanggup melihat arwah meronta-ronta ketika kami bertiga cuba mengheretnya ke tepi batu, namun dia terus tenggelam.

“Tanpa menghiraukan keselamatan diri, saya terus menyelam ke dasar sungai sebelum berjaya membawanya naik ke permukaan air, namun, arwah tenggelam kali kedua selepas tangan saya terlepas daripada pegangannya,” katanya.

Menurutnya, menyedari air terlalu dalam, selain sejuk dan cuaca semakin gelap, dia terus meminta Zamri segera menghubungi pihak berkuasa.

“Walaupun gagal menyelamatkan arwah, saya bersyukur kerana jenazahnya ditemui di dasar sungai dalam keadaan terlentang oleh anggota penyelamat,” katanya.

Katanya, anak saudaranya yang sebelum ini menetap di Johor bersama ibu bapanya, Zainal Abidin Saali, 40-an dan Noriah Derahim, 40-an baru tiba di rumah neneknya, Rahimah Mat Yazid, 60-an di Kampung Aril, pagi Jumaat lalu.

Menurutnya, Muhamad Azrul bekerja sebagai juruwang di sebuah pasar raya di Johor Bahru dikatakan berhasrat mencari peluang pekerjaan di negeri kelahirannya.

“Saya terkilan kerana hasrat arwah bekerja di sini tidak kesampaian, selain sedih arwah turut tidak berkesempatan menyambut kedatangan Ramadan bersama neneknya.

“Arwah yang juga anak sulung daripada lima beradik tidak menunjukkan perubahan kecuali beberapa minit sebelum kejadian kerana beriya-iya mengajak Atifi dan Zamri menemaninya membeli jeans buat kali terakhir di Rantau Panjang, Sabtu depan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penjaga Balai Bomba dan Penyelamat Machang, Nordin Yahya berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 6.15 petang dan tiba di kawasan perkelahan itu, setengah jam kemudian.

“Gerakan mencari mangsa disertai 17 anggota termasuk Unit Skuba, Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Pasir Puteh.

“Mangsa ditemui terdampar di dasar sungai, kira-kira jam 7.10 malam,” katanya.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Malik Bedut mengesahkan kejadian itu dan diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Harian Metro 18 Julai 2011

Jatuh dalam pusaran air di Lata Kertas

GUA MUSANG: “Kalau saya tahu kawasan air terjun itu ‘berpuaka’, awal-awal lagi saya sudah melarang suami ke sana,” kata Norazita Ibrahim, 34, ibu kepada budak perempuan berusia tujuh tahun yang ditemui lemas di Air Terjun Lata Kertas, Dabong, dekat Kuala Krai, Jumaat lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, perkelahan keluarga itu pada cuti hujung minggu bertukar pilu selepas seorang anak mereka, Siti Nurwahyu Ghazali, lemas ketika mandi di kawasan perkelahan itu.

Difahamkan, sebelum kejadian, mangsa yang duduk di atas batu diminta ibunya terjun ke kawasan air terjun itu, tetapi malangnya mangsa terjatuh di kawasan pusaran air.

Menggunakan tenaga yang ada, Norzita cuba menyambut tangan anaknya itu, namun gagal sebelum mangsa hilang daripada pandangan menyebabkan keadaan menjadi kelam-kabut hingga memaksa orang ramai dan keluarganya cuba menjejaki jasadnya.

Selepas lima jam, mayat mangsa ditemui kira-kira jam 7.15 malam sebaik mendapat pertolongan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Krai sebelum dihantar ke Hospital Kuala Krai (HKK) untuk dibedah siasat.

Ketika ditemui di rumahnya di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Meranto, di sini, Norazita berkata, dia tidak menyangka perkelahan bersama suami, Ghazali Rahim, 34 dan empat anak mereka bertukar pilu apabila seorang anaknya lemas.

Monday, June 27, 2011

Ratapan sisi jenazah




Harian Metro 27 Jun 2011

KOTA BHARU: “Maafkan aku Aliff! Maafkan aku!” kata Shafuan Haqim Othman, 18, sambil memegang erat tangan Mohammad Aliff Mohd Suhaimi, 19, ketika jenazah rakannya itu dibawa masuk ke dalam van jenazah di bilik mayat Jabatan Perubatan Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), di sini, semalam.




PILU...ibu Mohammad Aliff, Azma Yusoff tidak dapat menahan kesedihan.



SEDIH...Shafuan Haqim ditenteramkan rakannya.


Kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu berlaku ketika pelajar Kolej Islam Sains & Teknologi (KIST), Kampus Utama Ibnu Sina, Kandis, Bachok, dekat sini, datang ke perkarangan bilik mayat HRP II untuk melihat jenazah tiga rakannya yang maut dalam kemalangan di Kilometer 15, Lebuhraya Kota Bharu-Pasir Mas, di sini, malam kelmarin.

Tanpa menghiraukan kehadiran orang ramai di situ, pelajar terbabit tidak mampu menahan sebak sebelum meraung berdekatan jenazah rakannya itu kerana menganggap dia sebagai punca kemalangan terbabit selepas menghantar arwah Mohammad Aliff pulang ke rumahnya di Kampung Galok, Pasir Mas, pada malam kejadian.

Dia sekali lagi meraung di luar kawasan bilik mayat itu menyebabkan beberapa rakannya menenangkannya sebelum dibawa ke bilik solat hospital itu bagi meredakan keadaan.


Shafuan yang juga pelajar diploma pembantu farmasi semester tiga meminta maaf kepada setiap ahli keluarga rakannya itu sambil meraung dengan menyalahkan dirinya sebagai punca kemalangan.


Bagaimanapun, ibu Allahyarham Shaiful Jawahir Razali, 20, Hasmah Bakar, 61, dengan tenang cuba mententeramkan Shafuan dengan memintanya tabah kerana nahas itu berlaku bukan atas kehendaknya, sebaliknya sudah ketentuan Tuhan.

Dalam pada itu, ibu Allahyarham Mohammad Aliff, Azmah Yusof, 43, turut sebak sebaik melihat jenazah anaknya diusung ke van jenazah sambil berkata: “Sayang ummi (ibu), bawa perlahan-lahan!” bagaikan mahu memberi nasihat kepada anaknya supaya lebih berhati-hati meskipun sedar zuriatnya itu sudah meninggal dunia.

Dalam kejadian malam kelmarin, niat murni empat sahabat menghantar rakan mereka pulang menziarahi ayahnya yang sakit bertukar tragedi memilukan apabila tiga daripada mereka maut, manakala tiga yang lain parah selepas kereta mereka terbabit kemalangan dengan sebuah lori air batu.

Kemalangan kira-kira jam 11 malam itu mengakibatkan tiga pelajar KIST, Kampus Utama Ibnu Sina, Kandis, Bachok, dekat sini, Shaiful Jawahir Razali yang juga pemandu kereta, Sheikh Muhammad Farhan Shikh Md Saud, 19, dan Mohammad Aliff meninggal dunia di tempat kejadian.

Seorang rakan mereka, Muhammad Aznil Mohd Suhaimi bersama pemandu lori air batu dikenali Zamri, 29, dan rakannya berusia 20-an, parah dan dikejarkan ke Hospital Pasir Mas dan HRPZ II untuk mendapatkan rawatan.

Difahamkan, sebelum kejadian Shafuan meminta bantuan Aliff menghantarnya pulang ke rumah di Kampung Galok, Pasir Mas, dengan menaiki Proton Iswara berikutan keadaan kesihatan ayahnya kurang memuaskan selepas menghidap gastrik serta sesak nafas.

Allahyarham Mohammad Aliff bersama tiga rakannya menghantar Shafuan dan mereka menikmati hidangan mi goreng serta rambutan disediakan keluarga Shafuan sebelum pulang ke asrama kira-kira jam 10.30 malam.

Tidak sampai setengah jam bertolak pulang, kenderaan dipandu Shaiful Jawahir yang cuba memotong sebuah kenderaan terbabas dan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung sebuah lori air batu.

Menceritakan detik pertemuan terakhir bersama rakan-rakannya itu, Shafuan berkata, dia tergerak untuk pulang ke rumah pada malam kejadian selepas dihubungi kakaknya yang memaklumkan ayah mereka, Othman Deraman, 60, sakit di rumah.

“Tidak sedap hati, saya minta bantuan Aliff kerana dia mempunyai kereta. Tanpa saya sedari, tiga rakan lain mahu mengikut sama dan kami bergerak menaiki Proton Iswara dari asrama di Taman Dahlia, kira-kira jam 8.15 malam.

“Sebaik tiba di rumah, semua rakan dijamu hidangan ringkas disediakan kakak dan menjenguk keadaan ayah selepas dibawa mendapatkan rawatan di sebuah klinik swasta akibat sakit dada dan gastrik pada petang kejadian,” katanya.

Menurutnya, semua rakannya meminta diri untuk pulang ke asrama kira-kira jam 10.30 malam.

“Pagi tadi (semalam) saya dimaklumkan seorang rakan bahawa tiga kawan kami maut nahas. Berderau darah saya, tetapi menyangka itu gurauan.

“Saya lihat perwatakan mereka (rakan-rakan) agak berbeza kerana ketika menghantar saya, mereka tak banyak bercakap, cuma ada sesekali perbualan kami diselangi gelak ketawa,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Azham Othman, berkata kemalangan berlaku ketika kereta dipandu mangsa dari Kampung Galok, Pasir Mas ke Kota Bharu cuba memotong sebuah kenderaan di hadapannya sebelum terbabas dan bertembung sebuah lori dari arah bertentangan.

Katanya, kemalangan itu mengakibatkan tiga maut dan tiga yang lain parah sebelum dikejarkan ke hospital dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sunday, June 26, 2011

Pelajar KIST terlibat kemalangan, Mac 2010

Kemalangan ni berlaku sekitar bulan Mac, 2010.

BACHOK: Seorang pelajar Kolej Islam Sains dan Teknologi (Kist) maut, manakala lima individu cedera parah selepas dua kenderaan bertembung dalam kemalangan di Kampung Telong, Kandis, di sini, semalam.

Kejadian jam 3.55 petang itu berlaku sebaik kereta Kancil yang dipandu Faiz Asyraaf Mat Jid, 21, gagal memotong kenderaan di hadapannya menyebabkan dia memasuki laluan bertentangan.

Situasi mencemaskan itu menyebabkan kereta Kancil yang dipandu Faiz Asyraaf dari arah Tok Bali menghala ke Melawi dekat sini, bertembung dengan sebuah kereta Mercedes.

Kemalangan menyebabkan rakannya yang duduk di bahagian kanan penumpang, Ricky Anak Jami, 20, mengalami cedera parah dan maut di tempat kejadian, manakala Faiz Asyraaf cedera di badannya.

Turut mengalami cedera parah, pemandu serta empat penumpang kereta Mercedes berkenaan dikenali sebagai Embong Ngah, 48; isterinya, Habibah Mohamad, 47; dan dua anak mereka, Nurul Haswani Embong, 18, dan Mohamad Hasbullah, 5.

Mendiang Ricky yang juga berketurunan Iban kemudian dihantar ke bilik mayat Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, untuk bedah siasat, manakala semua yang cedera dirawat di hospital sama.

Tinjauan Harian Metro di pekarangan bilik mayat HUSM petang semalam mendapati, kawasan terbabit dipenuhi rakan terdekat mangsa yang melihat mayatnya buat kali terakhir.

Rata-rata mereka yang juga rakan sekuliah dan senegeri diberi peluang untuk melihat mayat mendiang secara bergilir-gilir, selain turut dihadiri beberapa pegawai dari kolej terbabit.

Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Yahya Salleh, berkata mangsa yang juga pelajar tahun dua kursus Pembantu Perubatan, dalam perjalanan dari arah Tok Bali ke Melawi.

Katanya, ketika tiba di hadapan Rumah Institut Mardi, Telong, dekat sini, kereta yang dipandu rakan mangsa gagal dalam cubaannya memotong sebuah kenderaan dari arah depan.

“Siasatan mendapati kejadian itu dipercayai berlaku akibat kegagalan rakan mangsa memotong kenderaan di hadapan sebelum memasuki laluan bertentangan menyebabkan kedua-dua kenderaan bertembung.

“Mangsa yang mengalami cedera parah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu Kancil dan semua penumpang Mercedes dari arah Kg Lubok Batu Kuala Telemong, Kuala Terengganu, cedera parah,” katanya.

Menurutnya, berikutan kemalangan maut membabitkan mangsa yang berasal dari Sungai Kerubong Sarikei, Sarawak, pihaknya menjalankan siasatan kes mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Rakan serumah mangsa, Abang Mohd Salimin Abang Suhaili, 20, yang juga pelajar tahun dua Diploma Kejururawatan, berkata kali terakhir mereka bertemu petang semalam selepas dia menunaikan solat Jumaat.

“Kebetulan mendiang pulang ke rumah malam kelmarin dan mahu berehat sehari di rumah sewa kami di Taman Perumahan Serdang Baru, Kandis, namun tingkah lakunya nampak sedikit berubah.

“Biasanya dia yang menjalani latihan amali di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) akan duduk bersembang, tetapi malam kelmarin, dia banyak mendiamkan diri sebelum masuk semula ke biliknya,” katanya.

Menurutnya, kira-kira jam 11.30 pagi semalam, rakan serumahnya itu ada menghubunginya untuk pulang semula ke Kota Bharu untuk menghabiskan latihan amali di situ.

“Entah macam mana, kira-kira jam 4 petang, saya terdengar bunyi ambulans berhampiran perumahan kami dan terkejut apabila dimaklumkan kemalangan itu menimpa rakan serumah,” katanya.

Pelajar KIST terlibat kemalangan, April 2011

Kemalangan yang berlaku pada bulan April, 2011. ( Harian Metro)

BESUT: Hasrat lima rakan karib keluar bersiar-siar untuk menghilangkan perasaan trauma selepas asrama mereka diceroboh perompak berakhir tragedi apabila tiga daripada mereka menemui ajal selepas terbabit kemalangan jalan raya di sini, semalam.

Ketika kejadian kira-kira jam 6 pagi, lima pelajar kejururawatan daripada Kolej Islam Sains dan Teknologi (KIST) cawangan Bachok, Kelantan, menaiki Perodua Viva dalam perjalanan pulang ke kampus mereka selepas bersiar-siar di bandar raya Kuala Terengganu, malam kelmarin.

Tiga yang terbunuh ialah pemandu kereta, Nur Diana Mohd Noor, 22, dari Kota Tinggi, Johor, Nurul Shahidah Abdul Jaabar, 19, dari Taman Rahmat, Tanah Merah, Kelantan dan Zur Irah Zakaria, 19, dari Kampung Titian Baru, Atas Tol, Kuala Terengganu.

Dua lagi rakan mereka, Bazilah Abdullah, 19, dari Lot 2051 Kampung Tiong Dalam, Kota Bharu, Kelantan dan Nur Adilah Mohd Ghazali, 19, dari Kampung Kelewek, Batu Gajah, Tanah Merah, Kelantan, parah dan kini dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.

Kejadian berlaku di Kilometer 104, Jalan Jertih-Kuala Terengganu, apabila kereta dipandu Nur Diana cuba memotong sebuah kenderaan, tetapi gagal sebelum bertembung lori tangki minyak dari arah bertentangan.

Seorang rakan mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Nor berkata, dia pada awalnya ingin turut serta bersama lima rakannya itu ke Kuala Terengganu selepas beberapa kali diajak Nur Diana, tetapi menolak pelawaan itu kerana tidak sihat.

Nor berkata, semua rakannya meninggalkan asrama mereka di Bachok kira-kira jam 9 malam kelmarin.

Menurutnya, mereka ke Kuala Terengganu untuk makan angin dan menenangkan perasaan selepas terkejut asrama pelajar wanita diceroboh perompak pada Subuh kelmarin.

“Mereka trauma selepas melihat seorang lelaki bertopeng menceroboh masuk asrama menyebabkan mereka menenangkan fikiran di Kuala Terengganu.

“Bagaimanapun, saya dikejutkan panggilan telefon seorang rakan lain yang memaklumkan mereka terbabit kemalangan di Jertih ketika dalam perjalanan pulang,” katanya ketika ditemui di Hospital Besut (HB), semalam.

Menurutnya, lima sahabat itu dipercayai meminjam kereta rakan lain dan tidak tidur ketika berada di bandar raya berkenaan, sebaliknya berangkat pulang selepas beberapa jam bersiar-siar.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintendan Nor Zainy Mohd Noor, berkata Nurul Shahidah yang tercampak keluar dari kereta meninggal dunia di HB kira-kira jam 7 pagi, manakala Nur Diana dan Zur Irah maut di tempat kejadian.

Katanya, pemandu lori terbabit, Khairi Ayob, 43, dari Kampung Alur Keladi, dekat sini, cedera ringan dan sudah diambil keterangan.

“Perodua Viva dinaiki mangsa rosak teruk di bahagian hadapan akibat pelanggaran dengan lori tangki menyebabkan ia berpusing balik ke arah Kuala Terengganu manakala lori terbabit terbabas ke dalam parit,” katanya.

Pelajar KIST terlibat kemalangan, Jun 2011

Bulan April lepas, baru je berlakunya kemalangan maut pelajar Kolej Islam Sains dan Teknologi(KIST) Bachok, yang membabitkan seramai 5 orang pelajar perempuan kolej tersebut, dimana 3 orang maut dan 2 orang lagi parah.

Pada 25 Jun 2011, kejadian yang hampir serupa menimpa pelajar KIST jugak. Kesemua mangsa adalah pelajar lelaki di kolej tersebut. 3 orang maut dan seorang lagi parah. Pelajar yang maut dikenali sebagai Saiful Jawahil Razali (pemandu), Mohd Alif Mohd Suhaimi Dan Sheikh Mohd Farhan masing-masing berusia 19 tahun. Manakala yang cedera pula adalah Azmi Ariffin, 19, Zabri Husin (pemandu lori), 29 dan Mohd Azeri Mat Nawi, 24. Menurut saksi, kejadian berlaku apabila kereta Proton Iswara yang dinaiki empat pelajar KIST berkenaan gagal memotong sebuah lori di hadapan mereka, lalu bertembung dengan lori ais dari arah bertentangan.

Sama2 lah kita doa semoga mangsa yang parah akan sembuh dan selamat, dan tak lupa jugak sedekahkan al-Fatihah kepada kesemua mangsa yang telah meninggal dunia.

Pada Mac, 2010 juga seorang pelajar KIST meninggal dunia. Ketiga2 kemalangan ni berlaku kerana kenderaan yang mereka naiki gagal memotong kenderaan di hadapan mereka. Itu apa yang dilaporkan di akhbar. Mereka dah ditakdirkan meninggal dunia dengan cara yang sama.

Kepada semua pemandu, pandulah berhati2 ketika berada di jalan raya. Kita tak tau apa yang akan menimpa kita nanti.

Kepada semua mangsa dan keluarga mangsa, Al-Fatihah dan takziah diucapkan. Semoga kalian tabah menghadapi dugaan yang menimpa.