Wednesday, July 14, 2010
Sepotong roti penebus dosa
Diriwayatkan oleh Abu Burdah bin Musa al-Asy’ari ketika menjelang wafatnya Abu Musa, lelaki itu berkata kepada puteranya: “Wahai anakku, ingatlah kamu akan cerita perihal seseorang yang mempunyai sepotong roti.”
Zaman dulu, di sebuah tempat ibadat, ada seorang lelaki yang sangat tekun menjalankan suruhan Allah SWT dan dilakukannya kira-kira 70 tahun selain tidak pernah meninggalkan tempat ibadat itu kecuali pada hari yang ditentukannya.
Bagaimanapun, satu hari dia digoda seorang wanita sebelum bergelumang di dalam dosa selama tujuh hari. Selepas tersedar, dia bertaubat dan mengembara selain tidak pernah lupa untuk menjalankan suruhan-Nya.
Akhirnya, dalam pengembaraannya, dia sampai ke sebuah pondok yang dihuni 12 fakir miskin. Kerana keletihan, dia tertidur di pondok berkenaan bersama kumpulan fakir miskin itu.
Di sebelah pondok berkenaan, tinggal seorang lelaki yang member sebuku roti kepada setiap fakir miskin di sana setiap malam.
Pada satu hari, datang individu lain memberikan sebuku roti kepada setiap daripada mereka.
Bagaimanapun, seorang daripada fakir miskin berkenaan tidak menerima roti kerana bahagiannya sudah diberikan kepada lelaki yang bertaubat itu.
Bertanyalah fakir miskin itu: “Mengapa kamu tidak memberikan roti itu kepadaku?” Individu berkenaan menjawab: “Kamu dapat melihat sendiri, roti yang aku bahagikan semuanya sudah habis dan aku tidak membahagikan kepada mereka lebih daripada sebuku roti setiap seorang.”
Mendengarkan ungkapan individu yang membahagikan roti, lelaki yang bertaubat itu mengambil roti diterimanya dan diserahkan kepada fakir miskin yang tidak mendapat bahagiannya. Keesokan harinya, dia meninggal dunia.
Di depan Allah SWT, ditimbang amal ibadat yang pernah dilakukan lelaki berkenaan selama kira-kira 70 tahun dengan dosa tujuh malamnya. Ternyata hasil daripada timbangan itu, amal ibadatnya dikalahkan oleh maksiat terbabit.
Bagaimanapun, ketika dosa yang dilakukannya selama tujuh malam ditimbang dengan sepotong roti yang pernah diberikannya kepada fakir miskin yang sangat memerlukan, ternyata amal sepotong roti itu dapat kalahkan perbuatan dosa terbabit.
Kepada anaknya, Abu Musa berkata: “Wahai anakku, ingatlah olehmu akan orang yang memiliki sepotong roti itu.”
Labels:
Islam itu indah
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
hebat cerita nih ;)
Post a Comment