Artikel ini dipetik dari akhbar harian metro 24 april 2011
Jika anak gadis anda belajar di tingkatan 4, ada 33% kemungkinan dia pernah melakukan hubungan seks. Dua daripada tiga pelajar melakukan hubungan seks kerana ingin mencuba dan bersuka-suka, manakala selebihnya kerana mengikut kehendak teman lelaki atau diajak kawan.
Soal selidik membabitkan 2800 responden berusia 15 hingga 25 tahun yang dijalankan sebuah universiti tempatan dengan portal YouthSays.com baru-baru ini menunjukkan 60% gadis remaja Malaysia hilang dara menjelang umur 18 tahun, manakala 24% daripada mereka mengaku pernah melakukan hubungan seks dengan 5 kekasih berlainan.
Hasil kajian rambang ini mungkin mengejutkan beberapa pihak, tetapi inilah ‘reality check’. Kita kena terima hakikat bahawa remaja hari ini mengetahui mengenai seks lebih awal, seawal 10-11 tahun.
Majoriti memperoleh maklumat daripada teman sebaya atau internet, dan ada juga mengenali seks melalui pornografi. Sangat sedikit yang mendapat pendedahan awal mengenai seks dengan bertanya ibu bapa atau guru mereka.
Ada teori mengatakan, fenomena ini ada kaitan dengan hakikat bahawa gadis sekarang mencapai akil baligh lebih awal berbanding ibu mereka.
Ada kajian menunjukkan anak gadis mengalami haid lebih awal sehingga 3 bulan setiap 10 tahun. Maknanya, jika anak gadis pada 1950 mengalami haid sekitar umur 13 tahun, anak gadis hari ini mengalami haid sekitar umur 11 tahun setengah.
Jika dilihat pada perspektif gejala sosial membabitkan remaja hari ini, terutama kes gadis hamil dan pembuangan bayi, masyarakat dan pihak berkuasa harus memberi respons serius terhadap hasil kajian ini.
Apatah lagi apabila ia mendapati 74% remaja yang melakukan hubungan seks mengaku tidak mengamalkan sebarang perlindungan.
Malah, 83% berkata tidak mengalami apa-apa kesan negatif daripada tindakan mereka. Separuh daripada mereka merasa ‘bahagia’ kerana pengalaman seks itu.
Statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat menunjukkan bilangan 111 kes remaja hamil sepanjang empat bulan pertama pada 2010 berbanding 131 kes sepanjang 2009 dan 107 kes pada 2008. Semua mereka ditempatkan di Rumah Perlindungan Taman Seri Puteri.
Menurut polis, 537 kes pembuangan bayi direkodkan antara 2005 dan Ogos 2010. Ini tidak termasuk kes ibu muda yang membunuh diri berikutan tekanan psikologi kuat atau terbunuh kerana komplikasi kandungan melahirkan anak secara haram.
Secara purata, kita boleh anggarkan kes yang tidak dilaporkan adalah empat atau 5 kali ganda bilangan ini.
Apakah pendekatan paling berkesan menangani bencana sosial ini? Berdasarkan bilangan kes yang tidak reda tahun demi tahun, ia memberi gambaran bahawa pelbagai usaha dilakukan kerajaan, NGO dan sukarelawan serta kempen media setakat ini tidak berhasil. Adakah tenaga, masa dan wang ringgit yang dicurahkan selama ini sia-sia?
Sekali pandang, nampaknya begitu. Namun kita faham bahawa tugas membanteras bencana sosial ini mesti konsisten dan berterusan.
Ini tanggungjawab kerajaan, masyarakat, keluarga, pihak sekolah, NGO dan badan sukarela yang tiada penghujung selagi masalah ini wujud.
Sebagaimana masalah pelacuran, dadah dan gangsterisme tidak pernah terbanteras sepenuhnya walaupun ada tindakan undang-undang, sosial, pendidikan, kerahan tenaga dan kewangan yang digunakan.
Wahai anak muda sekalian, renung-renungkan apa yang berlaku sekarang. Insaflah dan kembalilah ke pangkal jalan.
No comments:
Post a Comment