Kemalangan ni berlaku sekitar bulan Mac, 2010.
BACHOK: Seorang pelajar Kolej Islam Sains dan Teknologi (Kist) maut, manakala lima individu cedera parah selepas dua kenderaan bertembung dalam kemalangan di Kampung Telong, Kandis, di sini, semalam.
Kejadian jam 3.55 petang itu berlaku sebaik kereta Kancil yang dipandu Faiz Asyraaf Mat Jid, 21, gagal memotong kenderaan di hadapannya menyebabkan dia memasuki laluan bertentangan.
Situasi mencemaskan itu menyebabkan kereta Kancil yang dipandu Faiz Asyraaf dari arah Tok Bali menghala ke Melawi dekat sini, bertembung dengan sebuah kereta Mercedes.
Kemalangan menyebabkan rakannya yang duduk di bahagian kanan penumpang, Ricky Anak Jami, 20, mengalami cedera parah dan maut di tempat kejadian, manakala Faiz Asyraaf cedera di badannya.
Turut mengalami cedera parah, pemandu serta empat penumpang kereta Mercedes berkenaan dikenali sebagai Embong Ngah, 48; isterinya, Habibah Mohamad, 47; dan dua anak mereka, Nurul Haswani Embong, 18, dan Mohamad Hasbullah, 5.
Mendiang Ricky yang juga berketurunan Iban kemudian dihantar ke bilik mayat Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, untuk bedah siasat, manakala semua yang cedera dirawat di hospital sama.
Tinjauan Harian Metro di pekarangan bilik mayat HUSM petang semalam mendapati, kawasan terbabit dipenuhi rakan terdekat mangsa yang melihat mayatnya buat kali terakhir.
Rata-rata mereka yang juga rakan sekuliah dan senegeri diberi peluang untuk melihat mayat mendiang secara bergilir-gilir, selain turut dihadiri beberapa pegawai dari kolej terbabit.
Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Yahya Salleh, berkata mangsa yang juga pelajar tahun dua kursus Pembantu Perubatan, dalam perjalanan dari arah Tok Bali ke Melawi.
Katanya, ketika tiba di hadapan Rumah Institut Mardi, Telong, dekat sini, kereta yang dipandu rakan mangsa gagal dalam cubaannya memotong sebuah kenderaan dari arah depan.
“Siasatan mendapati kejadian itu dipercayai berlaku akibat kegagalan rakan mangsa memotong kenderaan di hadapan sebelum memasuki laluan bertentangan menyebabkan kedua-dua kenderaan bertembung.
“Mangsa yang mengalami cedera parah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu Kancil dan semua penumpang Mercedes dari arah Kg Lubok Batu Kuala Telemong, Kuala Terengganu, cedera parah,” katanya.
Menurutnya, berikutan kemalangan maut membabitkan mangsa yang berasal dari Sungai Kerubong Sarikei, Sarawak, pihaknya menjalankan siasatan kes mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Rakan serumah mangsa, Abang Mohd Salimin Abang Suhaili, 20, yang juga pelajar tahun dua Diploma Kejururawatan, berkata kali terakhir mereka bertemu petang semalam selepas dia menunaikan solat Jumaat.
“Kebetulan mendiang pulang ke rumah malam kelmarin dan mahu berehat sehari di rumah sewa kami di Taman Perumahan Serdang Baru, Kandis, namun tingkah lakunya nampak sedikit berubah.
“Biasanya dia yang menjalani latihan amali di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) akan duduk bersembang, tetapi malam kelmarin, dia banyak mendiamkan diri sebelum masuk semula ke biliknya,” katanya.
Menurutnya, kira-kira jam 11.30 pagi semalam, rakan serumahnya itu ada menghubunginya untuk pulang semula ke Kota Bharu untuk menghabiskan latihan amali di situ.
“Entah macam mana, kira-kira jam 4 petang, saya terdengar bunyi ambulans berhampiran perumahan kami dan terkejut apabila dimaklumkan kemalangan itu menimpa rakan serumah,” katanya.
No comments:
Post a Comment