GUA MUSANG: “Kalau saya tahu kawasan air terjun itu ‘berpuaka’, awal-awal lagi saya sudah melarang suami ke sana,” kata Norazita Ibrahim, 34, ibu kepada budak perempuan berusia tujuh tahun yang ditemui lemas di Air Terjun Lata Kertas, Dabong, dekat Kuala Krai, Jumaat lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, perkelahan keluarga itu pada cuti hujung minggu bertukar pilu selepas seorang anak mereka, Siti Nurwahyu Ghazali, lemas ketika mandi di kawasan perkelahan itu.
Difahamkan, sebelum kejadian, mangsa yang duduk di atas batu diminta ibunya terjun ke kawasan air terjun itu, tetapi malangnya mangsa terjatuh di kawasan pusaran air.
Menggunakan tenaga yang ada, Norzita cuba menyambut tangan anaknya itu, namun gagal sebelum mangsa hilang daripada pandangan menyebabkan keadaan menjadi kelam-kabut hingga memaksa orang ramai dan keluarganya cuba menjejaki jasadnya.
Selepas lima jam, mayat mangsa ditemui kira-kira jam 7.15 malam sebaik mendapat pertolongan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Krai sebelum dihantar ke Hospital Kuala Krai (HKK) untuk dibedah siasat.
Ketika ditemui di rumahnya di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Meranto, di sini, Norazita berkata, dia tidak menyangka perkelahan bersama suami, Ghazali Rahim, 34 dan empat anak mereka bertukar pilu apabila seorang anaknya lemas.
No comments:
Post a Comment