Halaman

Sunday, July 10, 2011

Keajaiban darah tali pusat bayi

Sudah menjadi amalan masyarakat Melayu, plasenta dan tali pusat akan dibersihkan sebelum ditanam rapi setelah kelahiran cahaya mata. Pengendaliannya dibuat secara cermat dan tertib sebagai penghormatan kerana ‘menemani’ bayi di dalam perut selama lebih sembilan bulan.

Tidak ramai yang maklum, tali pusat bayi sebenarnya cukup berharga meskipun setelah si kecil menjengah dunia. Hal ini kerana sel stem yang diperoleh menerusi darah pada tali pusat sekiranya disimpan, boleh digunakan untuk merawat pelbagai jenis penyakit termasuk yang sukar diubati.

Begitu pun, ia perlu disimpan secara betul agar tidak matang sekali gus berguna apabila diperlukan pada masa depan.

Sel stem ini pula tidak semestinya bermanfaat kepada bayi pemilik darah sahaja tetapi juga boleh digunakan oleh adik-beradik, ibu bapa dan saudara terdekat sekiranya menghadapi masalah kesihatan. Bagaimanapun, peratusan kesesuaian untuk adik-beradik lebih tinggi berbanding pertalian lain.

Selain tali pusat, sel stem juga boleh diperoleh daripada tulang sum-sum tetapi cara ini bukan sahaja menyakitkan tetapi juga lebih tinggi risiko pencemaran berbanding pengambilan daripada tali pusat bayi.

Terdapat kajian menyatakan, sel stem binatang juga boleh digunakan untuk merawat penyakit dihidapi manusia pada zaman ini. Namun bagi masyarakat Islam, sel stem daripada bayi sudah tentu jauh lebih baik berbanding sel stem binatang yang diragui keberkesanannya dan hukumnya dari segi syarak sekiranya digunakan pada manusia.

Keistimewaan sel stem hingga ia mampu menjadi penawar penyakit adalah sifat sel ini yang kosong dan memiliki keupayaan untuk merangsang pembentukan sel lain seperti sel darah, sel system pertahanan badan, sel jantung, sel saraf, sel otot dan tulang.

Dianggarkan, lebih 75 penyakit termasuk yang berbahaya dan mengancam nyawa boleh dirawat menggunakan sel stem. Pada masa terdekat, manfaat sel stem daripada darah tali pusat bayi turut dipercayai bakal digunakan untuk rawatan estetik, hati dan pertumbuhan semula anggota.

Sayangnya, kesedaran untuk menyimpan sel stem bayi masih rendah di Malaysia terutama dalam kalangan bumiputera. Sedangkan kos untuk menyimpannya jauh lebih murah berbanding kebanyakan negara lain.

Di Malaysia, sejak 2002 kerajaan mengiktiraf kepentingan sel stem darah tali pusat menerusi penubuhan bank darah tali pusat di Pusat Darah Negara. Seterusnya pelbagai kempen kesedaran dijalankan termasuk menggunakan khidmat penghibur terkenal, Datuk Sheila Majid yang turut menyimpan sel stem anaknya.

Selain Bank Darah Negara, terdapat syarikat swasta yang menawarkan perkhidmatan perbankan sel stem darah tali pusat. Antaranya CellSafe International yang terletak di Northpoint Mid Valley City, Kuala Lumpur.

Ramai ibu bapa di Asia semakin menyedari kepentingan menyimpan sel stem bayi mereka sebagai insurans-bio tetapi kesedaran dalam kalangan masyarakat Malaysia boleh dikatakan masih rendah terutama mereka yang tinggal di luar bandar.

"Mungkin pada masa depan keadaan berubah dan penyimpanan sel stem akan disedari sama pentingnya seperti mengambil insurans perubatan anak," ujar pengarah eksekutif CellSafe, Lau Kin Wai.

CellSafe merupakan syarikat pertama di Malaysia yang menggunakan teknologi Sepax dari Switzerland untuk memastikan perolehan sel stem sewaktu pengekstrakan adalah optimum. Ia juga menawarkan tapak simpanan sekunder untuk lebih jaminan keselamatan, amalan yang biasa dilakukan bank-bank darah tali pusat di Eropah.

Bagi ibu bapa yang berminat untuk menyimpan sel stem daripada darah tali pusat bayi mereka, persediaan harus dibuat dengan memaklumkan pihak yang dipilih melakukan perbankan berkenaan. Hal ini kerana sampel darah biasanya perlu diambil dan diproses dalam tempoh 48 jam bagi memastikan kebolehhidupan sel stem yang lebih tinggi.

Dalam pada itu angkasawan pertama negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar dan isteri, Datin Dr Harlina Mohd Yunos antara selebriti yang turut mengikut jejak langkah Datuk Sheila Majid apabila mengambil keputusan untuk menyimpan sel stem darah tali pusat anak mereka kelak di CellSafe.

"Ia umpama insurans untuk anak saya kerana darah tali pusat ini boleh digunakan untuk merawat pelbagai penyakit yang boleh mengancam nyawa."

"Memandangkan kita tidak tahu apa akan berlaku pada masa depan, ini merupakan persediaan yang baik untuk bayi," kata Dr Sheikh Muszaphar yang berharap pembabitannya akan mencambahkan minat lebih ramai ibu bapa untuk mengikut jejak langkahnya.

Isterinya, Dr Halina pula menyifatkan keputusan untuk menyimpan sel stem darah tali pusat bayi mereka bersandarkan keinginan setiap ibu bapa untuk memberikan yang terbaik pada anak masing-masing.

Oleh:Aida Azura Azemi

No comments: