TANAH MERAH - Seorang penuntut Kolej Islam Sains dan Teknologi (KIST) yang cedera parah dalam kejadian kemalangan tragis di Salor 26 Jun lalu, Mohd Aznil Afnan Ariffin,19, meninggal dunia jam 11.20 malam kelmarin setelah dua minggu terlantar koma di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM).
Dalam kejadian 26 Jun lalu, kemalangan yang berlaku kira-kira jam 11 malam di Kilometer 15, Lebuh Raya Kota Bharu-Pasir Mas itu mengakibatkan tiga penuntut KIST, Kampus Utama Ibnu Sina, Kandis, Bachok, Shaiful Jawahir Razali,20, yang juga pemandu kereta, Sheikh Muhammad Farhan Shikh Md Saud, 19, dan Mohammad Aliff Mohd Suhaimi,19, meninggal dunia di tempat kejadian selepas kereta yang mereka naiki bertembung dengan sebuah lori air batu manakala Mohd Aznil, pemandu dan kelindan lori tersebut parah.
Ibu Mohd Aznil, Samsiah Che Ismail,41, ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya dekat Kampung Tepi Sungai amat bersedih dengan kehilangan anak sulung dari tiga beradik itu.
“Kecederaan parah dalaman yang dialami arwah di kepala dan paru-paru menyebabkan arwah tidak sedarkan diri hampir dua minggu dan hanya bergantung kepada bantuan pernafasan sahaja.
“Setiap hari saya berulang alik ke HUSM untuk menjaga dan melihat perkembangan dirinya namun saya reda kerana Allah SWT lebih sayangkannya,” katanya.
Menurutnya, Mohd Aznil merupakan penuntut tahun dua jurusan Diploma Farmasi, seorang yang ceria, mempunyai ramai kawan dan pandai mengambil hati orang di sekelilingnya.
“Tidak hairanlah semasa berada di HUSM, ramai rakan-rakan datang melawat tidak pernah putus dan saya berterima kasih kepada semua yang banyak memberi semangat dan mendoakan anak saya sepanjang
berada dalam koma. Malah ketika jenazahnya dibawa pulang ke kampung halaman dekat sini masih ramai yang berkunjung, saya amat terharu.
“Sebelum kejadian arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan, namun ada memberitahu saya kaca matanya telah patah, namun tidak mahu membeli yang baru kerana ingin menggunakannya buat sementara waktu.
Samsiah berkata, arwah dan tiga sahabatnya yang maut ketika kejadian berkawan baik malah tinggal sebilik.
“Arwah seorang anak yang baik dan setiap hujung minggu pasti akan pulang ke rumah jika tiada kuliah, kehadirannya membuatkan kami sekeluarga
lebih ceria dengan perwatakannya yang disenangi semua. Arwah pernah memberitahu mahu menjadi ahli farmasi berjaya dan ingin membalas jasa keluarga apabila bekerja kelak,” katanya. Allahyarham Mohd Aznil selamat dikebumikan di Tahan Perkuburan Islam Tepi Sungai, di sini.
Sumber: Sinar Harian
No comments:
Post a Comment